Sabtu, 9 Januari 2010

Jalan kerohanian(Tarikat)

1.PERLUKAH SESEORANG ITU MENINGGALKAN KEHIDUPAN UNTUK MENUJU JALAN ROHANI-(TARIKAT)
Setiap orang yang hidup dalam dunia ini membina kehidupan masing-masing berdasarkan dorongan naluri semulajadi seperti keinginan berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan asas yang lain yang diperlukan. Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan mudah mahu membina kehidupan yang selesa dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui kesusahan dan pengorbanan bagi memperolehinya. Adakah jika seseorang itu mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti meninggalkan atau membuang apa sahaja yang telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan masyarakat lalu lari ke hutan dan gua?

2.SIKAP BERTAJRID SECARA MELULU

Orang yang cenderung kepada aliran tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan dianggap sebagai bukti ketinggian makam seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan kekeramatan, perlulah dia memilih hidup bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya daripada segala-galanya yang dia anggap boleh menghalang perkembangan kerohaniannya. Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya.

3.KESAN ORANG YANG BERTAJRID SECARA MELULU.

Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini tidak dapat bertahan lama.
i.Kesabarannya tidak cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang mendatanginya semasa dalam pengasingan.
ii.Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu jiwanya.
iii. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh di mata merisaukan fikirannya.
iv.Harta yang banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh orang lain.
v.Dia pula tidak dapat makan dengan mencukupi, tidurnya juga tidak selesa.
vi.Tubuhnya menjadi lemah dan semangatnya juga lemah. Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung penderitaan dan kegelisahan.

Dia lari daripada alam pengasingan dan kembali kepada kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia melihat kerugian yang sudah dialaminya selama dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti. Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk menebus semula masa dan peluang yang telah terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam pengasingan dahulu.

Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan boleh menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan